Baju kurung merupakan pakaian tradisional Malaysia yang sering mendapat tempat di kalangan kaum lain di Malaysia kerana ia selesa dipakai serta merupakan pakaian untuk majlis rasmi juga.
Tapi tahukah anda, setiap negeri dan setiap kaum mempunyai jenis baju kurung dan baju tradisional yang tersendiri? Keunikan inilah yang dapat menyerlahkan lagi unsur kepelbagaian suku kaum di Malaysia. Seiring dengan peredaran zaman, fesyen baju kurung juga telah melalui pelbagai perubahan dari zaman nenek moyang kita sehinggalah ke zaman kita sekarang.
1. Baju Kurung/Baju Melayu Teluk Belanga
Tahukah anda bahawa nama baju teluk belanga diberikan oleh orang Johor dengan rekaan unik pada bahagian leher. Baju Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Ciri-ciri ini telah memberikan keunikan identiti baju orang Johor.

2. Baju Kurung/Baju Melayu Cekak Musang
Baju kurung antara pakaian yang mendapat evolusi paling ketara. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri atau dinamakan sebagai baju kurung cekak musang atau baju wan. Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga. Manakala, bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang.


3. Samping
Tidak lengkaplah baju Melayu tanpa pemakaian samping daripada kain songket atau kain pelikat yang dililit kemas pada pinggang. Seperti pakaian tradisional masyarakat Melayu yang lain, pemakaian samping juga ada aturan dan simboliknya tersendiri. Samping yang dipakai di bawah lutut bermaksud lelaki itu sudah berkahwin manakala samping yang dipakai di atas lutut pula digayakan oleh lelaki bujang.

Selain daripada baju kurung, baju kebaya juga merupakan pakaian tradisional yang tidak lapuk dek zaman. Kebaya nyoya mempunyai potongan yang mengikut bentuk badan dan lebih seksi manakala kebarung (kebaya dengan gabungan baju kurung) mempunyai potongan yang lebih longgar dan labuh.
