Jakel…Malaysia’s largest textile retailer with the best and most extensive fabrics collections for all your needs since 1985.

Kenyataan Rasmi Kejadian Jakel Shah Alam Terbakar

Petikan video dari Youtube Rasmi Harian Metro

KENYATAAN MEDIA KEJADIAN KEBAKARAN BANGUNAN JAKEL DI SHAH ALAM

SHAH ALAM, 1 Jan 2023 – Gedung tekstil terkemuka milik Jakel hampir musnah dalam kebakaran di Seksyen 7, di sini, hari ini. Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu di sedari oleh pengawal keselamatan bertugas sebelum marak namun tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian kira-kira 19 minit selepas menerima aduan dan kebakaran masih dikawal namun belum dipadamkan setakat 4.15 petang. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, kejadian membabitkan bangunan lima tingkat dan tiga tingkat seluas 80,000 kaki persegi itu dianggarkan melibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

jakel shah alam terbakar
Gambar Kejadian Kebakaran di Jakel Shah Alam oleh Berita Harian

Katanya, punca sebenar kebakaran masih belum diketahui. “Selain premis, barangan jualan untuk persiapan bulan Ramadan dan hari raya tahun ini turut hangus. “Buat sementara ini, operasi perniagaan akan tergendala dan kita merancang mencari tapak perniagaan baru di sekitar Shah Alam.

“Buat masa ini, para pelanggan diminta berkunjung ke Jakel Bangi, Jakel Bandar Tun Hussein Onn atau Jakel Mall Kuala Lumpur bagi mendapatkan barang-barang keperluan seharian dan Hari Raya yang tidak lama lagi,” ujarnya. Jelas Mohamed Faroz, meskipun premis ini tidak beroperasi seperti biasa, nasib lebih 500 kakitangan di gedung itu tidak akan diabaikan. “Jakel akan tetap membayar gaji semua kakitangan kami di sini, itu adalah komitmen saya kepada mereka,” tegasnya.

Ujarnya, Jakel ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak bomba yang segera hadir ke lokasi dan bertungkus lumus memadam kebakaran selain polis yang turut mengawal keselamatan setempat. “Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan setia yang sentiasa menyokong kami dalam apa jua keadaan. “Ribuan terima kasih juga kepada pihak media yang sentiasa memberikan laporan terkini dari lokasi. Saya turut menerima banyak panggilan daripada mereka dan kenalan yang turut berkongsi rasa terkilan dan simpati di atas kejadian berlaku di Jakel Shah Alam pada hari
pertama tahun 2023 ini,” tambahnya. Untuk keterangan lanjut, pihak media boleh menghubungi Ketua
Pegawai Strategi Jakel, Encik Fuad Ahmad di talian 019-3138884.

Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel